Friday, June 19, 2009

Kumpulan DG-WA Johan Festival Nasyid Peringkat Kementerian 2009

Kumpulan Nasyid DG-WA dari Jakim yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berjaya mendapat tempat pertama dalam Festival Nasyid Peringkat Kementerian sempena Ma’al Hijrah 1430H/2009M. Festival tersebut telah diadakan pada 9 dan 10 Jun 2009 bertempat di Auditorium Blok B1, Parcel B, Putrajaya.


Sebanyak 11 kumpulan telah menyertai festival ini yang mewakili pelbagai kementerian. Setelah melalui sesi saringan yang diadakan pada 9 Jun 2009, hanya 5 kumpulan yang dipilih untuk ke peringkat akhir diadakan pada 10 Jun 2009.


Y.B Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah hadir merasmikan festival nasyid tersebut. Dalam ucapan perasmiannya beliau melahirkan rasa bangga dan gembira di atas penyertaan yang menggalakkan daripada Kementerian-kementerian dan berharap agar nasyid akan menjadi salah satu medium dakwah yang pratikal dan berkesan kepada masyarakat.

Antara kementerian yang menyertai festival pada kali ini ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kerja Raya.


Kumpulan DG-WA yang mewakili JPM dengan lagunya ‘Satu Iltizam’ telah mendapat tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala Naib Johan pula disandang oleh kumpulan Nurani dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 2,000, piala iringan dan sijil penyertaan, dan tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan al-Taqwa yang mewakili JPM, mendapat wang tunai RM 1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Muhamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz, Ketua Pengarah Jakim yang hadir sama dalam majlis tersebut telah dijemput untuk menerima hadiah kemenangan bagi kejayaan kumpulan DG-WA.

Festival tersebut turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian/Jabatan.

Tarikh : 18 Jun 2009
Sumber : Pengarah Bahagian Perkhidmatan ICT
Editor : PRO JAKIM